SERIKIN merupakan salah satu tempat tumpuan pelancong
sekiranya mereka datang ke Kuching, Sarawak. Hal ini demikian kerana, setiap
kali hujung minggu iaitu hari Sabtu dan Ahad pengunjung dapat melihat keunikan
pasar minggu yang ada di sini. Kedudukannya yang terletak di daerah Bau dan
bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia menjadikan pasar minggu Serikin ini
sangat istimewa. Sangat unik! Perjalanan ke sana hanya mengambil masa kurang
daripada 2 jam dari Kuching. Sambil menyelam minum air, pengunjung juga boleh
melawat beberapa jenis gua yang terdapat berhampiran dengan Pasar Serikin iaitu
Gua Angin dan Gua Pari.
Tiba di satu simpang terakhir ke Serikin, pengunjung akan
melihat satu gua yang digunakan untuk upacara kaum Budha. Ramai juga pengunjung
akan singgah sebentar sekadar untuk mengambil gambar sebagai kenangan.
Tempat Menarik di Serawak
Pondok Polis Serikin dan Jabatan Imigresen Malasysia menjadi
‘landmark’ bahawa pengunjung hampir tiba di Pasar Serikin.
Setibanya pengunjung di sana, mereka dapat melihat pelbagai
jenis barangan yang dijual. Deretan kedai lurus sehingga ke hujung jalan. Agak
memenatkan kerana pengunjung terpaksa berjalan kaki untuk melihat pelbagai
jenis barangan yang dijual. Tetapi ini merupakan satu pengalaman yang
menyeronokkan! Kebanyakan peniaga merupakan orang tempatan tetapi juga ada
yang datang dari sempadan Indonesia semata-mata untuk berniaga di Pasar Serikin ini.
Tikar Sarawak dan barangan kraf tangan hasil titik peluh
penduduk tempatan merupakan salah satu barangan yang laku keras di sini. Tikar
Sarawak merupakan salah barangan yang sangat sinonim dengan hasil industri yang
terdapat di Sarawak. Tikar Sarawak sangat kukuh dan tahan lasak kerana
diperbuat daripada dua jenis bahan iaitu rotan dan kulit kayu. Pengunjung
kebanyakannya akan membeli tikar ini sebagai tanda kenangan mereka. Bagaimana
mahu membawa gulungan tikar ini pulang? Jangan khuatir, tikar Sarawak ini boleh
dilipat dan dimasukkan ke dalam guni untuk memudahkan pengunjung memilikinya.
Unik bukan? Memang itulah keunikannya. Harganya pula berbeza-beza mengikut saiz
sehingga boleh mencecah kepada harga RM500. Tidak rugi untuk memilikinya.
Pelbagai jenis
kraftangan yang lain turut dijual di Pasar Serikin ini. Antaranya seperti
tudung saji, bakul, kerusi, beg, dan sebagainya yang diperbuat hasil daripada
anyaman. Selain itu, bingkai ayat al-Quran yang dihasilkan dengan menggunakan
kulit binatang turut dijual di sini. Harga yang diletakkan tidak pula terlalu
mahal sekiranya pengunjung pandai tawar-menawar.
Bagi kaum wanita
pula, banyak barangan yang boleh dibeli untuk dibawa pulang. Pasar Serikin
turut menyediakan pelbagai jenis kain pasang yang bersulam dengan pelbagai jenis
corak serta warna yang menarik. Semakin banyak kain pasang yang pengunjung
beli, semakin murah harga sepasang yang diletakkan oleh peniaga. Sangat berpuas
hati kerana pengunjung dapat melihat, merasa, menyentuh sendiri kain pasang ini
yang kebanyakannya sama dijual secara atas talian. Selain daripada itu,
pelbagai jenis telekung sembahyang juga turut dijual di sini. Kain pasang dan
telekung sembahyang merupakan barangan yang dibawa masuk daripada Indonesia.
Kain batik Sarawak juga merupakan
salah satu barangan yang paling laris dijual di sini. Kebanyakan pengedar batik
Sarawak yang membekalkan kain batik ke Semenanjung akan mendapatkan bekalan
kain batik di sini secara borong. Kain batik Sarawak ini juga banyak dihasilkan
di Indonesia dan dibawa masuk ke sempadan untuk diniagakan.
Pasar Serikin juga
mempunyai pelbagai lagi jenis barangan seperti baju, beg, kasut dan sebagainya.
Walaupun barangan yang dijual tidaklah berjenama seperti yang terdapat di pusat
beli belah, tetapi memadai dengan harga yang ditawarkan. Nang sik rugi gilak
mun kitak beli barang ya! (memang tidak rugi kalau anda membelinya)
Tempat Membeli Belah di Serawak
Pasar Serikin sememangnya tempat yang wajib
untuk dikunjungi oleh para pelancong yang datang ke Sarawak. Sekiranya anda
datang ke sini, anda dinasihatkan dan digalakkan untuk sampai seawal mungkin
sekiranya tidak mahu bersesak dan menghadapi masalah parkir kereta. Kedudukan
pasar ini yang berada di garisan khatulistiwa menyebabkan panas terik pada
waktu tengah hari. Oleh yang demikian, pengunjung perlulah pandai mengatur masa
terutamanya bagi pengunjung yang membawa anak-anak kecil.
0 comments:
Post a Comment